Berdepan dengan pelbagai masalah,
kita perlu bijak untuk menanganinya. Dalam menangani permasalahan yang dihadapi,
perlu ada ketenangan, penelitian, keterbukaan dan ketelusan. Jangan sesekali
bertindak mengikut emosi. Tindakan mengikut emosi hanyalah ‘penambah rasa’
kepada masalah yang dihadapi dan akan menjadikannya lebih kompleks untuk
ditangani.
Hari ni, berita
berkenaan seorang guru yang didakwa merotan dan menyogok pelajar sebuah sekolah
agar menyembunyikan perkara berkenaan mengundang pelbagai spekulasi berkenaan
kerjaya seorang guru. Dalam perkara sebegini, pelbagai pihak akan tampil
mempertahankan si pelajar dan mensensasikan perlakuan guru terbabit yang secara
terang-terangan bercanggah dengan etika seorang guru. Hal ini akan mengundang
rasa kurang percaya yang menebal di kalangan ibu bapa pelajar terutamanya
mereka yang mudah terpengaruh dengan cerita-cerita luar secara terus tanpa
melalui proses penelitian kepada sumber berkenaan.
Kita harus
sedar, cabaran kerjaya seorang guru hari ini amat tinggi. Perilaku dan akhlak
remaja hari ini merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani
oleh seorang guru. Mereka bukan lagi seperti dulu, diberikan tanggungjawab oleh
ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan ilmu dan sahsiah diri untuk masa
depan mereka. Dewasa ini, cabaran mereka kian meningkat. Ibu bapa sekarang
tidak punya mentaliti yang dianggap lapuk oleh sesetengah ibu bapa zaman ini.
Mereka menghantar anak-anak ke sekolah untuk dididik tapi guru tidak boleh
menyentuh anak mereka. Kalau disentuh mahupun dicuit sedikit, bersiap sedialah
untuk menerima surat dari peguam mahupun diambil tindakan oleh pihak sekolah.
Walaupun bukan semua ibu bapa sedemikian rupa, tetapi tindakan sesetengah pihak
yang bertindak mengikut emosi ditambah dengan tindakan sesetengah pihak yang
mensensasikan perbuatan tersebut seperti menangguk di air yang keruh untuk
berlagak hero, sebenarnya mencalar kredibiliti golongan ibu bapa yang tidak
mempunyai mentaliti sebegitu.
Dalam meneliti
etika seorang guru, kita perlu dewasa dalam meletakkan diri kita menilai kerjaya
mereka dan menilai diri kita sebagai ibu bapa. Apakah tujuan ibu bapa
menghantar anak-anak mereka ke sekolah semata-mata mendapatkan ilmu dunia untuk
masa depan mereka sahaja? Tidakkah mereka mahu anak-anak mereka menjadi orang
yang berilmu dan mempunyai sahsiah diri yang tinggi dengan pelbagai kemahiran
insaniah yang mampu menjadikan diri mereka berharga di mata masyarakat?
Kalau kita lihat
situasi hari ini, boleh kita lihat betapa anak-anak remaja sekarang kurang
mempunyai adab terutama terhadap golongan yang lebih dewasa dan tua dari
mereka. Ada sesetengah dari mereka meletakkan kedudukan orang yang lebih tua
itu sama taraf dengan rakan sebaya sehingga boleh dibawa bergurau kasar
sepertimana mereka bergurau dengan rakan yang sebaya dengan mereka. Di mana
letaknya rasa hormat mereka? Pernah satu ketika, saya duduk di sebuah kedai
makan, sekumpulan remaja lengkap dengan pakaian seragam sekolah, duduk melepak
di kedai tersebut. Keadaan riuh dengan gelak ketawa dan perbualan mereka tanpa
menghiraukan keselesaan pelanggan lain di kedai berkenaan. Ketika mengambil
pesanan, mereka memperkotak katikkan si ‘waiter’ sehingga merah padam muka
‘waiter’ berkenaan melayan karenah kumpulan remaja berkenaan yang tidak mempedulikan
perasaan dan penat yang dialaminya akibat kesibukan di kedai berkenaan yang
tidak putus dengan kehadiran pelanggan. Inilah realiti remaja kita hari ini.
Mereka tidak lagi punya rasa hormat terhadap orang lain.
Berbalik kepada
tindakan seorang guru dalam mendidik anak muridnya, adakah wajar kita
mempersoal kredibiliti mereka sebagai seorang pendidik seiring dengan cabaran
mereka menangani sahsiah remaja kita hari ini? Kalau anda mengatakan ‘ya’, anda
perlu meletak diri anda di tempat guru berkenaan. Letakkan diri anda dalam
situasi mereka mengajar. Letakkan diri anda dalam situasi mereka berdepan
dengan sikap dan akhlak remaja kita yang semakin menipis. Adakah kita mampu
menangani tekanan berkenaan? Atau adakah kita hanya sekadar melihat tanpa sebarang
tindakan kerana setiap tindakan yang bakal diambil dibatasi dengan
undang-undang yang mengehadkan segala tindakan yang bakal diambil?
Situasi seperti
ini tidak hanya berlaku di peringkat sekolah malah ianya berlaku di peringkat
pendidikan tinggi. Pernah seorang tutor mengadu masalah yang dihadapinya dalam
berdepan dengan pelajar junior yang pada pandangannya mempunyai disiplin dan
sahsiah diri yang rendah. Sikap mereka yang gagal meletakkan perasaan hormat
terhadap tutor mahupun pensyarah yang mengajar mengundang perasaan kurang
selesa di kalangan mereka untuk mengajar golongan pelajar terbabit.
Salah satu
cerita yang disampaikan, seorang pensyarah mengadu bahawa dia telah berdepan
dengan pelajar yang dengan beraninya mempersoal kredibilitinya sebagai seorang
pensyarah. Pensyarah berkenaan menegur tindakan pelajar terbabit yang dilihat
gagal menumpukan perhatian dalam kelas sehingga dia berasa terganggu untuk
mengajar. Tetapi tindak balas pelajar berkenaan amat mengejutkannya. Pelajar
berkenaan tanpa rasa hormat, menempelak pensyarah terbabit dengan ayat yang
tidak pernah dijangkakannya sehingga menimbulkan rasa kurang senang di hati
pensyarah terbabit. Malah tindakan pelajar lain yang seperti menyokong apa yang
diperkatakan pelajar berkenaan mengundang persoalan tentang akhlak remaja hari
ini dalam diri pensyarah berkenaan. Belum pernah dia berdepan situasi berkenaan
dengan senior-senior yang lain. Tetapi kali ini, ianya cukup membuatkannya
tertanya di mana silapnya sistem pendidikan kita hari ini yang gagal mendidik
akhlak remaja kita hari ini.
Berdasarkan
penjelasan di atas, adakah kita masih lagi berkata ‘wajar’ terhadap provokasi
pihak tertentu terhadap kredibiliti seorang pendidik di negara kita? Memang
benar setiap orang di negara ini diberikan hak kebebasan bersuara tetapi ianya
memerlukan batas agar tidak melebih-lebih dan mampu menjaga sensitiviti
pelbagai pihak. Demokrasi tak semestinya tiada batas. Sedangkan dalam Islam
sendiri punya batas demi menjaga akhlak individu yang bergelar Muslim. Inikan
hidup dalam bermasyarakat. Asasnya mudah, sesuatu maklumat ataupun berita yang
diperolehi, jangan terus percaya bulat-bulat tanpa usul periksa. Teliti dan
fahami mengapa dan bagaimana ianya berlaku disamping keterbukaan kita menilai
tanpa dibayangi dan dipengaruhi oleh sesetengah pihak yang sibuk memprovokasi
tanpa mempedulikan erti sebenar di sebalik demokrasi dan kebebasan hak
bersuara. Bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi sikap keterbukaan
ataupun ‘transparent’ dalam menerima dan menyampaikan sesuatu maklumat tu
penting dalam era globalisasi hari ini yang mana pelbagai maklumat yang telah
dimanipulasi sesetengah pihak dengan mudah diperolehi oleh masyarakat sehingga
ianya mampu mengelirukan masyarakat umum.
0 orang sedang menCONTENG dinding:
Post a Comment