:: n o t a k e p o h :: Supportive lah sikit

7 orang sedang menCONTENG dinding

Monday, January 21, 2013


Kalau dilihat kepada bilangan artis yang sudah menyahut seruan ke arah menjadi lebih Muslimah, bilangannya semakin bertambah. Tak kisahlah dia bertudung sebab fesyen, trend atau ikhlas, yang penting perubahan positif seperti itu harus dipuji. Terbaharu, Datuk Siti Nurhaliza yang baru-baru ini tampil dengan imej berhijab. Alhamdulillah. Semoga lebih ramai artis kita yang kembali menjadi Muslimah sejati.

Tetapi, dalam kita melihat percambahan berkenaan, terdapat segelintir pihak yang masih kurang peka akan sensitiviti mereka yang berhijab ni. Pada yang ikhlas, mereka berhijab sebab menyahut seruan yang Maha Mencipta untuk menutup aurat. Mereka sedar, haram bagi mereka mendedahkan aurat mereka walau sedikit kepada khalayak ramai. Namun sikap sesetengah pihak yang tak peka berkenaan isu ini sedikit mengecewakan.

Seharusnya, semua pihak mengambil kira hal ini. Maksudnya di sini, mungkin ada dalam koleksi mereka, rakaman dalam bentuk video mahupun gambar yang dirakam semasa mereka masih belum berhijab. Bila mereka sudah berhijab, seharusnya video mahupun gambar yang pernah dirakam tu tak perlulah ditayang semula demi menjaga sensitiviti mereka terhadap aurat yang sedang mereka jaga sekarang ini. Namun, sebaliknya yang berlaku.


Semua pihak seharusnya lebih peka dan memberi sokongan terhadap usaha mereka untuk berubah. Mereka giat berusaha untuk merubah diri menjadi umat seperti yang diseru, tetapi ada pihak yang tak beri support terhadap usaha mereka demi mengaut keuntungan. Tak adil bukan? So, kalau boleh, kepada pihak-pihak yang berkenaan, tolong lah mereka-mereka ini dalam usaha mereka merubah diri mereka dengan tidak menayang semula video mahupun gambar lama mereka untuk tatapan umum.

:: n o t a k a r u t:: Teliti Puncanya

0 orang sedang menCONTENG dinding

Berdepan dengan pelbagai masalah, kita perlu bijak untuk menanganinya. Dalam menangani permasalahan yang dihadapi, perlu ada ketenangan, penelitian, keterbukaan dan ketelusan. Jangan sesekali bertindak mengikut emosi. Tindakan mengikut emosi hanyalah ‘penambah rasa’ kepada masalah yang dihadapi dan akan menjadikannya lebih kompleks untuk ditangani.

Hari ni, berita berkenaan seorang guru yang didakwa merotan dan menyogok pelajar sebuah sekolah agar menyembunyikan perkara berkenaan mengundang pelbagai spekulasi berkenaan kerjaya seorang guru. Dalam perkara sebegini, pelbagai pihak akan tampil mempertahankan si pelajar dan mensensasikan perlakuan guru terbabit yang secara terang-terangan bercanggah dengan etika seorang guru. Hal ini akan mengundang rasa kurang percaya yang menebal di kalangan ibu bapa pelajar terutamanya mereka yang mudah terpengaruh dengan cerita-cerita luar secara terus tanpa melalui proses penelitian kepada sumber berkenaan.

Kita harus sedar, cabaran kerjaya seorang guru hari ini amat tinggi. Perilaku dan akhlak remaja hari ini merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani oleh seorang guru. Mereka bukan lagi seperti dulu, diberikan tanggungjawab oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan ilmu dan sahsiah diri untuk masa depan mereka. Dewasa ini, cabaran mereka kian meningkat. Ibu bapa sekarang tidak punya mentaliti yang dianggap lapuk oleh sesetengah ibu bapa zaman ini. Mereka menghantar anak-anak ke sekolah untuk dididik tapi guru tidak boleh menyentuh anak mereka. Kalau disentuh mahupun dicuit sedikit, bersiap sedialah untuk menerima surat dari peguam mahupun diambil tindakan oleh pihak sekolah. Walaupun bukan semua ibu bapa sedemikian rupa, tetapi tindakan sesetengah pihak yang bertindak mengikut emosi ditambah dengan tindakan sesetengah pihak yang mensensasikan perbuatan tersebut seperti menangguk di air yang keruh untuk berlagak hero, sebenarnya mencalar kredibiliti golongan ibu bapa yang tidak mempunyai mentaliti sebegitu.

Dalam meneliti etika seorang guru, kita perlu dewasa dalam meletakkan diri kita menilai kerjaya mereka dan menilai diri kita sebagai ibu bapa. Apakah tujuan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah semata-mata mendapatkan ilmu dunia untuk masa depan mereka sahaja? Tidakkah mereka mahu anak-anak mereka menjadi orang yang berilmu dan mempunyai sahsiah diri yang tinggi dengan pelbagai kemahiran insaniah yang mampu menjadikan diri mereka berharga di mata masyarakat?

Kalau kita lihat situasi hari ini, boleh kita lihat betapa anak-anak remaja sekarang kurang mempunyai adab terutama terhadap golongan yang lebih dewasa dan tua dari mereka. Ada sesetengah dari mereka meletakkan kedudukan orang yang lebih tua itu sama taraf dengan rakan sebaya sehingga boleh dibawa bergurau kasar sepertimana mereka bergurau dengan rakan yang sebaya dengan mereka. Di mana letaknya rasa hormat mereka? Pernah satu ketika, saya duduk di sebuah kedai makan, sekumpulan remaja lengkap dengan pakaian seragam sekolah, duduk melepak di kedai tersebut. Keadaan riuh dengan gelak ketawa dan perbualan mereka tanpa menghiraukan keselesaan pelanggan lain di kedai berkenaan. Ketika mengambil pesanan, mereka memperkotak katikkan si ‘waiter’ sehingga merah padam muka ‘waiter’ berkenaan melayan karenah kumpulan remaja berkenaan yang tidak mempedulikan perasaan dan penat yang dialaminya akibat kesibukan di kedai berkenaan yang tidak putus dengan kehadiran pelanggan. Inilah realiti remaja kita hari ini. Mereka tidak lagi punya rasa hormat terhadap orang lain.


Berbalik kepada tindakan seorang guru dalam mendidik anak muridnya, adakah wajar kita mempersoal kredibiliti mereka sebagai seorang pendidik seiring dengan cabaran mereka menangani sahsiah remaja kita hari ini? Kalau anda mengatakan ‘ya’, anda perlu meletak diri anda di tempat guru berkenaan. Letakkan diri anda dalam situasi mereka mengajar. Letakkan diri anda dalam situasi mereka berdepan dengan sikap dan akhlak remaja kita yang semakin menipis. Adakah kita mampu menangani tekanan berkenaan? Atau adakah kita hanya sekadar melihat tanpa sebarang tindakan kerana setiap tindakan yang bakal diambil dibatasi dengan undang-undang yang mengehadkan segala tindakan yang bakal diambil?

Situasi seperti ini tidak hanya berlaku di peringkat sekolah malah ianya berlaku di peringkat pendidikan tinggi. Pernah seorang tutor mengadu masalah yang dihadapinya dalam berdepan dengan pelajar junior yang pada pandangannya mempunyai disiplin dan sahsiah diri yang rendah. Sikap mereka yang gagal meletakkan perasaan hormat terhadap tutor mahupun pensyarah yang mengajar mengundang perasaan kurang selesa di kalangan mereka untuk mengajar golongan pelajar terbabit.

Salah satu cerita yang disampaikan, seorang pensyarah mengadu bahawa dia telah berdepan dengan pelajar yang dengan beraninya mempersoal kredibilitinya sebagai seorang pensyarah. Pensyarah berkenaan menegur tindakan pelajar terbabit yang dilihat gagal menumpukan perhatian dalam kelas sehingga dia berasa terganggu untuk mengajar. Tetapi tindak balas pelajar berkenaan amat mengejutkannya. Pelajar berkenaan tanpa rasa hormat, menempelak pensyarah terbabit dengan ayat yang tidak pernah dijangkakannya sehingga menimbulkan rasa kurang senang di hati pensyarah terbabit. Malah tindakan pelajar lain yang seperti menyokong apa yang diperkatakan pelajar berkenaan mengundang persoalan tentang akhlak remaja hari ini dalam diri pensyarah berkenaan. Belum pernah dia berdepan situasi berkenaan dengan senior-senior yang lain. Tetapi kali ini, ianya cukup membuatkannya tertanya di mana silapnya sistem pendidikan kita hari ini yang gagal mendidik akhlak remaja kita hari ini.

Berdasarkan penjelasan di atas, adakah kita masih lagi berkata ‘wajar’ terhadap provokasi pihak tertentu terhadap kredibiliti seorang pendidik di negara kita? Memang benar setiap orang di negara ini diberikan hak kebebasan bersuara tetapi ianya memerlukan batas agar tidak melebih-lebih dan mampu menjaga sensitiviti pelbagai pihak. Demokrasi tak semestinya tiada batas. Sedangkan dalam Islam sendiri punya batas demi menjaga akhlak individu yang bergelar Muslim. Inikan hidup dalam bermasyarakat. Asasnya mudah, sesuatu maklumat ataupun berita yang diperolehi, jangan terus percaya bulat-bulat tanpa usul periksa. Teliti dan fahami mengapa dan bagaimana ianya berlaku disamping keterbukaan kita menilai tanpa dibayangi dan dipengaruhi oleh sesetengah pihak yang sibuk memprovokasi tanpa mempedulikan erti sebenar di sebalik demokrasi dan kebebasan hak bersuara. Bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi sikap keterbukaan ataupun ‘transparent’ dalam menerima dan menyampaikan sesuatu maklumat tu penting dalam era globalisasi hari ini yang mana pelbagai maklumat yang telah dimanipulasi sesetengah pihak dengan mudah diperolehi oleh masyarakat sehingga ianya mampu mengelirukan masyarakat umum.